Pernikahan: Mithaqhon Qholizho (Perjanjian Berat)

(Sebuah entri yang bakal diedit dipublickan kembali).
Hari ini, genap tiga bulan seorang aku bergelar isteri. Tiga bulan yang lalu, akad termetri. Bagai meraih kasih Allah yang maha besar, punya suami budiman lagi sentiasa kasih dan kasihan pada diri seorang aku yang tiada apa-apa, Allah sahaja yang layak disyukuri. Terima kasih ya Allah di atas Robithoh Muqaddasah ini.
Aku pernah menulis satu puisi dan warkah buat sahabat mempelai. Namun kini, kutujukan untuk diriku sendiri. Juga mereka yang bergelar isteri barangkali.
Kala menulis itu, aku teresak di musim syita’ di rumahku di Mansurah. Tahun 2003 sebelum pulang ke Malaysia mengetahui teman melansungkan perkahwinan bagiku satu berita yang meruntun emosi. Kekanda yang bersama berada dalam satu pelayaran menimba ilmu sebelum ke Mesir. Menjadi pelajar pertama mendapat pangkat Mumtaz di cawangan Iskandariah. Puisi ini juga sering kutuju dan kukurim pada sahabiah yang akan menjadi isteri. Membacanya kembali, aku terasa hairan bagaimana aku bisa menjalin ayat-ayat bombastik ala melankolik (kononnya). Mungkin perlu sedikit ubahsuai.
Selalunya bila aku fikir kembali, setiap kali ingin melakar puisi, aku tidak boleh memaksa diriku. Setiap kali nubari lembut dengan kasih Allah, ilham datang mencurah. Jika tidak, usah dikerah tidak mungkin terhasil apa-apa.
Seperti waktu itu, ketika di kamar waktu mengenang kembali Kekandaku yang pertama menjadi suri, sebak datang terus. Lantas kucapai pena dan buku, dan melakar emosi pada sekeping nota. (Wah, sungguh klasik, nostalgik dan ber’jiwo’ sastera pula ayatku kali ini.)
