Terminal Yang Pasti

15 06 2009

Gambar di ambil di sini

“Dan datanglah sakrat al maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu sentiasa lari daripadanya” -Surah AlQaf:19-

Sejak menerima beberapa berita tentang pemergian tokoh, syuhada’ Thailand, bekas penuntut-penuntut Mesir, pelajar perubatan Mesir, sutradara jsaudara dan kenalan dalam dua bulan ini, saya terpisat sendiri.

Mati terasa sangat dekat. Sungguh menghampiri. Dosa malah masih berselirat di urat nadi. Ngeri memikirkan mati. Sampai bila kesan pemergian mereka akan melekat di hati. Di lupa jangan, soalnya mati.

Entah kenapa. Hati terasa sayu, sedang saya bukannya mengenali dengan rapat mereka-mereka yang telah pergi. Hati menangis. Menangis bukan sekadar untuk mereka. Namun untuk diri sendiri, yang masih cinta dan terikat dengan dunia. Masih kosong kantung amalnya. Aduhai.

Kalam Puncak

Baru sebentar tadi, saya sempat melayari beberapa laman blog pelajar perubatan atau ikhwah-ikhwah Mesir yang biasa saya kunjungi dan saya linkkan blog mereka. Tidak banyak laman yang saya selalu kunjungi. Walau mereka tidak saya kenali namun ada beberapa laman blog yang melekat di hati.

Ketika mendapat khabar semalam, saya terus bergegas bertanya pada suami. Pada masa itu, saya tidak teringat membaca dari laman-laman blog Tullab Tib Mesir yang biasa diziarahi.

“Kenal tak Muhammad Ammar Zulkifli. Pelajar Kaherah.”

Suami yang masih mamai-mamai menjawab.

“Tidak kenal rasanya”

Saya masih tidak puas hati dan bertanya lagi. Suami akhirnya teringat.

“Semasa saya nak balik, mereka batch yang baru sampai”

Saya memberitahu yang ada kemalangan terjadi di Kaherah. Suami sendiri, tidak mendapat apa-apa pesanan dari telefon tangannya lagi.

Saya mendapat berita kehilangan tersebut dari satu portal berita yang saya tidak ingat bagaimana saya menemuinya. Kemudian, saya terus menaip nama Arwah dan cuba mencari berita yang lebih sahih.

Namun, saya lansung tidak menjenguk ke link-link yang biasa saya kunjungi. Adik saya sendiri, bukan main sibuknya. Susah dihubungi.

Sehinggalah saat ini. Mata hampir berbalam membaca di blog saudara Akmal Huzaifah. Perihal almarhum Ammar.

Kalam Puncak?

Kata-kata dari laman Kalam Puncak yang sungguh melekat erat di hati. Sungguh saya gemari walau tidak kenal pemilik laman tersebut.

“Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat…melihat dunia dari jendela akhirat.”

Ya Allah. Saya menekup muka.

Tidak menyangka laman yang merupakan salah satu laman blog yang selalu saya kunjungi merupakan laman blog Arwah Ammar.

Obeda ben Samit, saya meletakkan nama pautan blog beliau. Saya suka membaca laman tersebut. Sarat dengan kerajinan seorang ghulamuddakwah. Saya tidak menyangka Arwah punya laman blog. Apatah lagi, laman blog yang biasa saya kunjungi.

Menerusi laman-laman blog beberpa pelajar perubatan yang biasa dikunjungi seperti Sidi Hidir iaitu sahabat suami saya, Petaijeruk, Abufateh, Akh Ahmad Farhan dan Jackster. Masing-masing menceritakan perihal Arwah dan kesedihan yang meliputi mereka di sana.

Tidak hairan jika Arwah Ammar dipuji dan dikenang sebagai insan berbudi. Seorang bekas pelajar MATRI. Saya mengakui, antara sahabat TERBAIK pernah saya temui adalah dari MATRI. Mereka sentiasa bersedia membantu, tidak berburuk sangka, tidak pernah memasamkan muka, berakhlak TERSANGAT mulia, tidak kedekut, ringan tulang, hati tulus putih bersih. Pendek kata, ciri-ciri seorang daie yang soleh dan musleh hampir kepada sempurna ada pada mereka. Jika teringatkan sahabat saya dari MATRI, Ukht Amirah saya pasti tersenyum dan terasa tenang sekali. Susah mencari sahabat semulia beliau.

Siapa Mati Dahulu

Saidina Umar pernah berkata:-

“Kamu berkata si fulan telah mati. Si Fulan telah mati. Suatu hari nanti orang akan berkata, kamu telah mati”

Tiada jaminan atau tarikh tertentu siapa yang bakal tiba di terminal kematian dahulu. Kita mungkin sihat, namun saat roh dijemput datang dengan tiba-tiba. Bila? Tiada siapa ada jawapannya. Bila kita bawa kereta, dalam rumah, dalam bilik, sedang tidur, sedang ketawa, sedang menonton tivi, sedang makan. Semuanya tidak pasti.

Mereka sakit terlantar. Namun ajal mereka mungkin masih panjang.

Ringkasnya, siapa mati dahulu dan siapa yang diberhentikan di terminal kematian, tiada siapa yang tahu. Semuanya dalam ilmu ALLAH.

Begitulah yang saya rasakan dan kami suami isteri selalu bualkan.

Suatu hari Jumaat beberapa bulan lepas usai Solat Jumaat suami pulang ke rumah.

Mata beliau berkaca-kaca. Ternyata beliau sedang kesedihan.

Saya bertanya

“Kenapa ni. Kenapa bersedih?”

Jawab suami

“Tadi saya lepas pulang solat ditegur seorang lelaki. Suami bekas seorang pesakit. Saya pun bertanya. Macam mana khabar isteri sekarang. Sambil tersenyum suami tersebut menjawab. Isteri telah meninggal dunia “

Kata suami beliau terkejut sebab suami tersebut begitu tenang. Dalam umur muda, isteri meninggalkan beliau dahulu. Cerita suami lagi, si suami sungguh setia menemani isterinya setiap hari di hospital. Sanggup berhenti kerja dan menjaga isterinya selama tiga bulan berturut-turut di hospital. MashAllah.

Suami menambah lagi.

” Sekarang hidup si suami bekerja sebagai pegawai insurans. Tidak menentu seperti dahulu. Namun pasti beliau tenang.”

” Ya, tentu beliau tenang sekalipun isteri telah tiada. Isterinya telah pergi dan beliau tidak meninggalkan isteri hingga saat roh isteri meninggalkan jasad “. Saya memberi buah pandang. Hati turut sebak mendengar cerita suami.

” Sebenarnya sebelum ini, saya ada terjumpa juga suami salah seorang bekas pesakit saya. Isteri dia juga baru meninggal. Mereka ada tiga orang anak bersama. Cuma beliau tidaklah sampai berhenti kerja. Mungkin sebab ada anak-anak yang perlu diberi makan. Tetapi beliau tidak pernah lekang menziarahi isteri setiap petang.”

Kami sama-sama terdiam. Dada sarat sebak.

Suami memandang saya dan berkata.

“Saya rasa menyesal jika tidak menghargai isteri saya dengan sebaiknya. Isteri saya ada disisi. Isteri-isteri orang lain, telah diambil. Tinggal mereka keseorangan”

Oh, suami saya bermelankolik.Tampak lembut hatinya jika dengan saya. Kadang-kadang saya lebih kelihatan keras hati di awal perkahwinan kami.

“Suami saya dah melayan saya dengan begitu baik sekali. Jangan bersedih ya. Tidak mengapa. Biar saya mati dulu.”

Saya bergurau. Cuba meleraikan suasana suram ketika itu.

Sejak hari itu, gurauan siapa mati dulu menjadi perbualan kami. Masing-masing berebut untuk mengatakan diri masing-masing yang ingin dan akan mati dulu.

Akhirnya, saya menyimpul. Biar Allah tentukan siapa mati dahulu. Mana yang terbaik. Namun semoga kita dapat mati bersama-sama pada masa yang terbaik dalam perkiraan Allah.

Suami mengiyakan.

Pemutus Lazat Dunia

Mati bukan persinggahan akhir. Ia pemutus roh dari jasad. Perpindahan ke alam yang lagi satu. Pemutus kelazatan jasadiah. Seperti riwayah Ibnu Hibban yang berbunyi:-

عن ابي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صل الله عليه وسلم : اكثروا ذكر هاذم اللذات : الموت. رواه الترمذي والنسائى وصححه ابن حبان

Dari Abu Hurairah berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda : Perbanyaklah engkau menyebut pelebur kelezatan yaitu mati. (HR. Tirmidzi dan Nasai dan di shahihkan oleh Ibnu Hibban)

Jika mengingati mati, terasa kelazatan dunia tidak bererti untuk dikejar lagi. Ingin membeli barang kemas baru, kasut dan beg baru? Semua terasa sia-sia belaka.

Nafsu dapat dididik dan dibendung dengan lebih rapi lagi. Kedegilan dan kerakusan nafsu dapat diikat kemas dan diajar bagaimana menjadi nafsu yang terpuji.

Beg tangan Louis Vutton?

Kasut jenama Crocodile, Nose, Converse?

Kereta Honda Accord?

Perhiasan rumah yang mewah dan baru?

Akan hadir juga sikap cukup dengan dunia. Kesusahan dunia tidak dirasakan kekal. Kerana dunia tempat uji. Hidup untuk mencari mati yang sempurna.

Sesuai dengan kata-kata Kaab r.a

Ka’ab r.a. berkata “Barangsiapa mengenal maut, maka segala musibah dunia baginya akan menjadi mudah

Di antara salah satu kelebihan mengingati mati. Menghadirkan rasa zuhud yakni tidak meletakkan dunia di hati. Juga qanaah. Yakni cukup dan memadai dengan apa yang ada.

Bukankah kemewahan dan kelazatan dunia tidak dapat dibawa ke alam roh yakni barzakh?

Cinta manusia, cinta dunia, cinta nafsu. Semoga akan menjadi bahana andai tidak dipimpin dengan taqwa. Jika tidak disulam dengan cinta pada ALLAH.

Ya. Kelebihan mengingat mati sangatlah banyak. Namun tidak ramai yang benar-benar dapat tenggelam dalamnya setiap masa.

Abu Hamid Lafaf r.a. pernah berkata:-

Barang siapa banyak mengingat mati, maka akan mendapatkan tiga jenis kemuliaan :

1) Taufik untuk cepat bertaubat
2) sifat Qona’ah (merasa puas dengan apa yang ada) dari segi harta
3) Ketenangan dan kelazatan dalam ibadah.

Akan melahirkan hamba yang berkerja di dunia ibarat menanam benih untuk ladang akhirah. Rasa takut dan cinta pada ALLAH menebal dan subur. Rasa zuhud dan qanaah membentuk peribadi. Inilah hasil selalu mengingati mati. Cinta akhirat, tidak cintakan dunia.

Mencintai Mati Dan Takut Mati

Sikap kita yakni manusia menghadapi soal mati juga pelbagai. Para Arif Billah lain caranya. Mereka mencintai mati kerana mati, salah satu terminal untuk bertemu ALLAH. Zat yang agung. Kekasih yang dirindui. Mereka takut pada Allah namun cinta juga memenuhi setiap relung jiwa mereka. Taubat mereka telah sempurna dan tidak pernah berhenti. Sekalipun sudah berjuta kali pengampunan diminta pada ALLAH, mereka tidak pernah berhenti. Tidak puas kepada zikir pada ALLAH. Membawa rindu bertemu ALLAH dan cinta pada mati.

Selain itu rasa takut para Salaf kepada mati juga tidak terkira banyaknya dicerita dan dinukil pada kita.

Di antaranya merupakan kisah yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Abdul MAlik. Seorang Khalifah dari Bani Umayyah. Dia menjemput seorang zuhud, bernama Abu Hazim. Setelah itu Khalifah bertanya:

Wahai Abu Hazim, mengapa kami takut mati?

Abu Hazim menjawab:

” Kerana kalian merosakkan akhirat kalian, dan membangunkan dunia kalian, maka jadilah kalian orang yang takut untuk pergi dari satu kekuatan menuju kehancuran”

Khalifah Sulaiman menjawab:-

” Engkau benar, lalu bagaimana kita mendatangi yakni menemui Allah?”

Dijawab Abu Hazim

” Seorang yang baik bagaikan seseorang yang jauh pulang menemui keluarganya. Sementara, seorang pendosa bagaikan hamba sahaya yang lari dari tuannya dan pulang menemuinya.”

Menangislah Sulaiman dan berkata, ” Oh, alangkah bagusnya jika saya tidak pernah hidup. Bagaimana agaknya nanti kami di sisi ALLAH?

Kemudian beliau bertanya kali terakhir. Di mana Rahmat ALLAH? Abu Hazim menjawab,

Dekat dengan orang yang baik-baik

Kematian Satu Terminal Pasti

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku” Surah AlFajr:27-30

Kesimpulannya, hari kematian merupakan satu terminal yang pasti. Dan kita berkongsi gerabak yang sama menuju terminal kematian. Mereka yang telah pergi, sudah selesai separuh perjalanan menuju ALLAH.

Lebih dari tangisan buat mereka tangisan untuk kita lebih perlu kita utamakan. Mereka telah pergi, doa dan sedekah yang mampu kita hulurkan. Mereka telah pergi ke daerah yang manjadi idaman para Syuhada’, Solihin dan Siddiqin. Kita masih terperangkap di daerah fana’. Bersama kemulut dunia dan hanyir dosa yang tidak pernah selesai.

Oh dosaku, nafsuku, keburukan dan kejahatan diriku. Amal dan baktiku pada agama yang masih sedikit.

Sampai kapan, kesan berita kematian akan membekas di hati tidak dapat ditulis dengan pasti. Namun, zikrul maut harus di buat hari-hari untuk menghidupkan hati yang mati. Jika tidak berkesan, tanda hati sudah layu di bawah pohon kelalaian dan maksiat. Ya Allah! Semoga Allah memelihara hati ini dari kerasnya ia dan tidak terkesannya ia dengan ayat-ayatMU dan bicara kematian menujuMU.

“Maka bagaimanakah (keadaan mereka) apabila para malaikat mencabut nyawa mereka sambil memukul muka dan belakang mereka. Yang demikian itu adalah dengan sebab mereka mengikuti apa yang menimbulkan kemurkaan Allah dan (dengan sebab) mereka membenci (apa yang menimbulkan) keredaan-Nya. Oleh sebab itu Allah menghapuskan (pahala) segala amalan mereka.” Surah Muhammad:27

alQasam

14 Jun 2009

Monolog

Untuk diriku yang berselirat maksiat, dipenuhi derhaka nafsu kepada Tuhan, hamba hina yang tidak sedar perihal diri, kelemahan dan keburukan yang memenuhi urat nadi. Siapalah aku wahai Tuhanku, selalu keras hati bila disebut nama dan asmaMU, tidak takut tika disebut azabMU, apakah begitu sekali aku sudah bersedia untuk mati. Hari yang tidak mungkin dapat disangkal lagi. Saat roh akan hanya berkata benar? Ya Allah. Bantulah hambaMU ini kembali padaMU.


Actions

Information



7 responses to “Terminal Yang Pasti”

15 06 2009
  iman_muhay (19:34:08) :

salam,kak sumayyah.
saya pernah ke blog kalam puncak itu melalui blog inilah,
untungnya arwah,kebaikan nya disebut2 ,pemergiannya banyak menyedarkan saya.
jazakillah kerana mengulas lebih lanjut.

15 06 2009
  alQasam (19:50:46) :

Terima kasih kembali pada ALLAH.

Akak pun tidak sangka. Dua hari lepas, yakni hari sabtu semasa terima berita pemergian arwah Ammar, akak duk mencari maklumat juga. Tapi tak terfikir nak ke blog-blog Tullab Tib mesir yang biasa akak pergi. Semalam baru akak terfikir nak klik dan SubhanAllah. Rupa-rupanya Obeda Bin Samit merupakan laman blog Arwah. Dengan karikatur ahli sufi dari majalah OK, sungguh membekas di jiwa.

Ummu Ammar baru sahaja post entri terbaru. Tabahnya hati seorang ibu. Masakan tidak. Tuaiannya membuahkan hasil yang subur. Perginya meninggalkan haruman yang mewangi.

Yang lebih mengkagumkan, ketabahan Ummu Ammar. Sempat lagi beliau berpesan kepada sahabat anak-anaknya agar meneruskan perjuangan tarbiyah dan dakwah. Selain merasa bersyukur ditinggalkan anak-anak yang masih ada yakni sahabat Arwah sendiri.

Benarlah kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal:-

“Tanda-tanda perginya orang yang dicinta ALLAH, dikunjungi ramai orang yang soleh, dan diiringi dengan orang yang ramai”

Bagaimanakah nasib kita kelak? Bagaimanakah nasib kita kelak? Bila kita akan diambil. Bila masa kita?

Perginya mereka. Tarbiyah buat kita untuk kembali mendidik jiwa dan diri. Memperbaiki dan mempertingkatkan diri. Membawa kepada maqam yang lebih baik jika kita berusaha memperhalusi hikmah perginya mereka. InshALLAH. Amin

16 06 2009
  ummumishkah (22:19:23) :

bila ada kematian memang suatu ingatan buat kita yang hidup… betullah sbg tarbiyah untuk kita mendidik diri kita.. terima kasih kerana mengingatkan saya.. :)

17 06 2009
  suara (19:53:04) :

Salam dik sayang…
Bertakung mata kak su bila membaca entry ini. Adakalanya hati begitu keras… walaupun kematian selalu berlaku di sekeliling, tapi payahnya untuk mengumpul kekuatan untuk kekal berusaha meningkatkan iman sendiri. Terasa iman bagai ombak, sekejap naik… sekejap turun. Ya Allah… ampunkan daku.

Membaca bicara AlQasam dgn suami buat kak su teringat kisah lama dlm entry kak su Hadirnya hanya pinjaman. Menilai cara penerimaan bila berlaku kehilangan orang yang tersayang.

20 06 2009
  alQasam (01:46:23) :

ummumishkhah: Terima kasih kembali kak.

Suara: Kak su, amin.

Saya dah baca entri kak su tu sepintas lalu. Teringat saya bulan lepas, ayah saudara suami meninggal sakit jantung. Adik kepada bapa mertua saya. Tinggal isteri dan seorang anak masih kecil. Bila dengar cerita mak ngah, memang sedih. Tapi semuanya dalam takdir ALLAH kan.

23 06 2009
  Umaq (17:59:13) :

ya. ana lepasan MATRI 2001.

5 07 2009
  firstmartyr (06:27:46) :

semoga kita semua tergolong dlm golongan mereka yg merindui pertemuan dgn Ilahi..sama2 doa spy bila pulangnya kita ke pangkuan Allah, para malaikat dan seluruh isi langit dan bumi mendoakan dan menjemput kita ke syurgaNya..amin Ya Rabb..

“Perkara yang paling aku menyesal sekali dalam sehari ialah apabila terbenamnya matahari, umurku berkurang tetapi amalku tdak bertambah” – Ibn Mas’ud

ingatlah mati nescaya kita akan berhati2..

teringat pd allahyarham adik, khalid abdul aziz..allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fu’anhu..

Leave a comment

You can use these tags : <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong> <p> <br>

Powered by WP Hashcash