Antara Dua Bahasa: Belajar Dari Yu Ming
7 06 2009Bimillahirrahmanirahim
Agak lama saya berhibernasi. Merangka-rangka tulisan hanya dalam fikiran sendiri. Sebagai manusia biasa yang perlu menyusun jiwa kehambaan penuh konsistensi, kadang-kadang perlu juga menyendiri. Mengutip semangat yang berciciran. Membina dan mendidik hati dan nafsu agar tertib membawa diri.
Banyak isu-isu menarik itu dikupas dan diulas bersama, namun saya tertarik dengan isu bahasa. Setiap kali dan hampir setiap hari, isu ini yang bermain dan bercanda dengan saya. Namun yang membuatkan saya sungguh terpanggil untuk menulis di sini setelah membaca wawancara dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Dato’ Ir Dr Haji Ahmad Zaidee Laidin di majalah Mileni edisi terbaru dan entri Tuan Tanah yang begitu berkesan di jiwa.
Dato’ yang dihormati, saya dengan rendah diri mengakui ya memang tidak rugi mengetahui bahasa Inggeris namun bukan itu pokok argumentasi kami yang menyanggahi PPSMI diteruskan. Dan ya Tuan Tanah yang budiman, saya juga bersama anda. Ya, saya tidak mahu sejarah bahasa Manx berulang menjadi lipatan sejarah kita!

Antara Dua Bahasa
Jujurnya, saya sendiri malah suatu masa dahulu pernah mengalami konflik bahasa. Sejak kecil malah.
Semasa berumur lapan hingga sepuluh tahun, saya mula meminati sastera novel melayu. Tidak tahu bagaimana ia bermula. Namun mungkin semuanya bermula kerana ibubapa saya menjadikan perpustakaan lokasi tetap musim percutian sekolah kami. Hampir setiap hari cuti hujung minggu dan cuti sekolah umum, kami dihantar ke perpustakaan. Dari pagi hingga ke petang, kami ditinggalkan ke situ untuk membaca. Kami bukannya dari keluarga senang, jesteru bercuti bagi kami hanya diluangkan pada kampung datuk nenek dan perpustakaan.
Di perpustakaan Shah Alam, saya membaja cinta. Membaja cinta pada bahasa Melayu. Novel Khadijah Hashim, Osman Puteh, Usman Awang, Enid Blyton, Salma dan Penyiasatan edisi terjemahan dan lain-lain lagi menjadi pilihan saya. Saya kira, hari bahagia akan panas hari-hari namun mendung bertandang di jendela hari.
Ketika ayah saya mendapati, saya hanya membaca buku berbahasa Melayu malah menjadi ketagih buku bahasa Melayu, saya dimarahi. Dengan sungguh dan amat. Ayah saya menyatakan perjanjian kontrak pada saya.
“Kaklong kalau tidak mula membaca buku Inggeris, baba tidak bagi kaklong ke perpustakaan lagi”.
Tegas sekali suara ayah. Seolah tiada pilihan di tangan lagi buat saya.
Mendengarnya, saya menangis, meraung-raung dengan kesedihan yang amat. Sungguh! Saya tidak membesarkan cerita. Seingat saya, saya menangis dan meraung-raung di bawah meja makan. Tidak dapat dibayangkan kesengsaraan diri jika tidak dapat menatap buku berbahasa Melayu dan dilarang ke perpustakaan semula. Semasa itu, saya berumur sembilan atau sepuluh tahun. Saya menjawab sambil air mata berjujuran:-
“Baba, jangan paksa kaklong ya. Kaklong suka sangat baca buku Bahasa Melayu. Kaklong tak faham buku inggeris, macam mana nak baca”
Ayah saya tetap bertegas.
“Baca dahulu walau tak faham. Ambil kamus dan cari makna.”
Akur dalam keterpaksaan saya menuruti kehendak ayah.
Bermulalah episod meminjam dan membaca buku Inggeris. Kelat terasa di jiwa. Tawar keenakan membaca. Buku-buku dari siri Enid Blyton, terbitan Enid Blyton yang lain saya gagahi untuk tatapi jua. Sambil kamus di tepi katil, saya cuba merangkak belajar memahami makna. Saya bagai ingin menangis. Susahnya mahu belajar bahasa Inggeris. Bosan dengan asyik perlu merujuk kamus saya akhirnya menemui jalan penyelesaian.
“Kaklong akan cuba mengagak makna perkataan melalui stuktur ayat dan perbualan”
Saya berbicara sendiri.

Kerenggangan saya dan buku bahasa Inggeris berterusan sehingga saya dan adik menemui siri baru berjudul “Sweet Valley Kids” yang menjadi kegilaan anak-anak perempuan zaman itu, seperti kegilaan remaja kita membaca Twilight sekarang. Ia medan perjalanan cinta kami kepada bahasa Inggeris yang membuatkan koleksi novel inggeris saya mendominasi simpanan buku bahasa Melayu di rumah. Sweet Valley Kids dan Twins kemudiannya menjadi koleksi terbesar kami sekeluarga.
Sekalipun demikian, jiwa saya masih segar dengan cinta pada sastera Melayu. Saya suka melakar puisi dan sajak sejak di sekolah rendah. Saya memberi rakan-rakan akrab saya puisi ciptaan untuk mereka simpan dan bagi berkongsi minat yang sama, mereka membalas dengan sajak ciptaan mereka. Saya mengembangkan minat pada bahasa Melayu dengan membaca tulisan-tulisan Kolumnis di majalah Tamadun ketika itu. Satu-satunya capaian saya kepada bahasa Melayu selain dari Majalah Muslimah, Detik dan lain-lain lagi. Saya tenggelam dalam tulisan Faisal Tehrani, Suria Janib, Hishamuddin Rais dan Tarmizi Jam.
PERTEMBUNGAN
Dua minat dan kecenderungan bercampur. Saya merasakan keduanya ada tempat di hati saya, sehinggalah isu PPSMI muncal. Awalnya saya sendiri tidak merasakan kepentingan untuk benar-benar mencintai bahasa Melayu bagi rakyat Malaysia sekalipun saya mencintai sastera Melayu. Bagi saya menyintai sastera dan bahasa Melayu tidak semestinya dapat dirasai semua. Saya merasakan sastera dan bahasa adalah dua perkara yang berbeza. Ya, saya salah di situ. Menyintai sastera merupakan minat dan kecenderungan peribadi. Namun menyintai bahasa, adalah satu kewajipan bagi mereka yang ingin mempunyai jatidiri yang mapan.
Malah saya berbasa-basi sahaja melihat isu PPSMI dibincangkan. Sehinggalah akhir tahun lepas, pendirian saya dan keluarga berubah. Kami semua tidak menyetujui PPSMI dijalankan walau bagaimanapun kami mengakui kepentingan bahasa Inggeris setelah mendengar dan menganalisa perbincangan dan pendapat kedua-dua belah pihak.
Malah saya malu sendiri, apabila mengingatkan perihal diri yang suka bercakap bahasa Inggeris apabila berkomunikasi dengan rakan-rakan dari bangsa lain. Sehingga pernah ketika mahu berurusan membeli keperluan dan dalam LRT, saya berbahasa Inggeris dan teman bual berbangsa Cina itu berbahasa Melayu! Alangkah naifnya saya.
Bahasa Inggeris, bahasa dakwah dan keperluan semasa. Kerana itu juga, saya menulis dalam bahasa Inggeris sekali sekala dan kesemua carian saya dalam bahasa Inggeris demi memudahkan sahabat-sahabat antarabangsa. Sesuai dengan firman Allah.
Allah berfirman, maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya.” ( al-Hujurat: 11)
Namun bahasa Melayu, bahasa kita. Bahasa jatidiri dan bahasa bangsa Malaysia. Identiti. Jatidiri. Pembinaan negara. Jika ingin belajar bahasa Inggeris, nah belajarlah! Namun mengapa ramai anak-anak bandar kita, merangkak-rangkak merangka ayat setiap kali berbahasa Melayu? Mengapa ramai teman dari bangsa lain, tidak dapat berbahasa Melayu dengan fasih? Mengapa isu PPSMI ini telah membuatkan ramai anak-anak kita hilang cinta kepada bahasa Melayu? Seolah terpisah, bahasa Melayu untuk bangsa Melayu.Tanyalah, soalah mereka. Mereka sendiri keliru tentang kepentingan bahasa Melayu.
Nah, jika ya kita mengakui Bahasa Inggeris bahasa komunikasi, namun perlukah kita meminggirkan bahasa kita, seolah-olah akan berlaku pertembungan dalam pembinaaan tamadun, jika Inggeris tidak dikuasai? Seolah-olah bahasa Inggeris perlu didahulukan dalam sistem pembelajaran kita? Ya, sifirnya nampak mudah namun fokus argumentasinya tampak menyimpang.
LETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA
Belajarlah bahasa Inggeris, kerana ia bahasa yang membantu kita untuk interaksi dan dakwah. Namun belajarlah bahasa Inggeris dengan tunduk jiwa bahasa ia bukan keutamaan kita. Ia bukan bahasa kita, ia bahasa yang menjadi keperluan. Bukan untuk menjadi kebanggan dan membanggakan diri pada orang lain, nah ‘Aku boleh berbahasa Inggeris jesteru aku akan terkehadapan disebabkan ini dan jika tidak menguasinya kita akan terkebelakang’.
Ajarlah bahasa Inggeris dengan sekemas-kemasnya dalam subjek itu sendiri. Hingga anak-anak kita mahir bertutur dan menguasai dan dalam masa yang sama tahu di mana letak duduk kedudukan bahasa itu sebenarnya. Ia bukan bahasa ibunda.
Tetapkanlah bahasa Melayu mendominasi mata pelajaran di sekolah-sekolah kita. Hingga kedua bahasa itu diletakkan dengan adil. Di tempatnya sendiri. Anak-anak mahir berbahasa Inggeris namun faham dan cinta metah kepada bahasa Melayu. Jika berkomunikasi sesama kita, cinta kepada bahasa Melayu. Untuk memahirkan bahasa Inggeris, nah lakukan sesuai dengan keselesaan masing-masing. Namun jangan sampai, kita merasakan bahasa Inggeris adalah segala-galanya. Hinga membuatkan anak-anak kita keliru, bahasa Inggeris adalah bahasa dunia dan ia raja segala bahasa.
Bertanyalah, kepada yang ahli itu kaedah Islam. Pada bahasa, bertanya kepada pakar bahasa dan interaksi sosial. Pada kaitan bahasa dan isu pendidikan, bertanyalah dan berbincanglah dengan pakar bahasa dan pendidikan. Isu ini tidak memakan masa sedikit. Bukan setahun seperti Tun Dr Mahatdhir melaksanakan PPSMI di sekolah-sekolah. Ia perlu satu masa yang lama, agar keputusan dilakukan dengan matang dan tuntas. Sayang, terlalu cepat mantan Perdana Menteri kita membuat keputusan.
“Maka bertanyalah kamu kepada “Ahlaz Zikr ” sekiranya kamu tidak tahu”. (Surah An Nahl: 43)
LEBIH DARI ISU SAINS DAN MATEMATIK
Apakah kita lupa pada Cina dan Perancis? Bagaimana rakyat mereka mendaulatkan bahasa dengan begitu tinggi sekali. Sehingga walaupun menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan pelancong, namun itu tidak memundurkan negara dan bangsa mereka. Malah mengangkat bahasa dan sekaligus negara mereka sebagai negara maju yang disegani. Rakyat luar merasa hormat dan mereka disegani kerana mereka punya jatidiri. Bahasa mereka dipelajari majoriti penduduk dunia.
Tidak mustahil, suatu hari nanti bahasa Inggeris akan ketinggalan di belakang dan bahan ilmiah akan didominasi oleh bahasa lain. Mengapa tidak kita mengangkat bahasa kita ke peringkat antarabangsa dan berbangga dengan bahasa kita? Menjadikan bahasa Melayu, bahasa tradisi ilmu dan ketamadunan dunia. Jangan yang dikendong berciciran yang dikejar tidak dapat.
Banyak yang saya ingin dikupas bersama, namun ini dahulu buat masa ini. Sehingga kini perkara yang amat saya banggakan jika mendengar bangsa lain bertutur bahasa Melayu dengan fasih dan tersusun sekali. Inilah bahasa kita jiwa bangsa.
Saya melihat isu PPSMI lebih dari isu pengajaran matapelajaran matematik dan sains. Ini kerana kemampuan pelajar menguasai mata pelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris adalah berbeza-beza. Saya tertarik dengan satu kajian yang dilakukan oleh Cikgu Kiu Me Yin dan Cikgu Ling Ling Hong di dua buah sekolah di Sabah pada tahun 2006.
Pelajar sekolah rendah, adalah mereka yang sedang membesar dan mengalami proses pembesaran minda dan fizikal yang cepat. Proses pemahaman mereka terhadap mata pelajaran berkembang dengan cepat sesuai dengan penempatan dan cara mereka dibesarkan jesteru tiada bukti saintifik yang menyeluruh lagi tuntas dapat mengukur kemampuan mereka mengadaptasi ilmu matematik dan sains dalam bahasa inggeris. Namun saya lebih suka memandang mereka mampu untuk mendapat kejayaan dalam peperiksaaan sekalipun diajar dalam bahasa inggeris.
Namun kejayaan sesuatu subjek adalah berbeza dengan pemahaman terhadap ilmu. Berjaya mendapat A bukanlah bukti seorang murid itu dapat memahami secara menyeluruh ilmu dalam subjek tertentu. Ini situasi umum yang diketahui. Tahu berbahasa inggeris tidak semestinya cemerlang dalam subjek bahasa inggeris. Rakyat yang berada di negara yang menjadikan inggeris sebagai bahasa pertama, tidak semestinya mempunyai ilmu yang mendalam dan berjaya dalam menjadi pakar dalam bidang-bidang tertentu. Juga tidak semuanya mendapat A dan cemerlang dalam subjek Inggeris sekalipun mereka berbahasa inggeris.
Kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dua matapelajaran tersebut bukan kayu ukur seseorang itu mahir dalam bahasa inggeris. Ini kerana
ilmu itu yang menjadi tujuan dan bahasa sekadar alat atau kemahiran. Ya, mahir berbahasa dan berilmu dua perkara yang berbeza. Salah satunya penggerak dan salah satu yang lain merupakan matlamat. Jika penggerak tidak dicakna dengan baik dan digarap dengan berkesan, matlamat tetap tidak dapat dicapai.
Sebagai antara yang pernah menjadi guru, saya lebih suka agar bahasa inggeris diajar dengan lebih berkesan dan efektif, jika mereka mengimpikan generasi nanti dapat mengejar perkembangan dunia daripada kita mengajar sains dan matematik dalam bahasa inggeris.
Ya, jika kita ingin generasi kita berjaya dan berilmu, letakkan sesuatu pada tempatnya. Bahasa melayu pada tempatkanya. Bahasa inggeris pada tempatnya. Bahasa merupakan ilmu alat. Jika kita dapat menguasainya maka kita dapat menguasai ilmu. Oleh itu, fokuskan kepada subjek bahasa itu sendiri. Setelah berjaya menguasai bahasa inggeris iaitu salah satu ilmu alat dengan baik, amat mudah untuk mengembangkan ilmu dan pemahaman terhadap istilah-istilah teknikal dan ilmiah yang lain. Ya, bukan itukah hujah mereka yang mendokong PPSMI?
Nah, jesteru, fokuskan kepada pembelajaran bahasa inggeris itu sendiri dan ransang budaya berfikir secara kritikal dan suka membaca. Mudah bagi mereka yang menguasai ilmu alat untuk mengembangkan ilmunya jika cinta membaca. Namun sama sahaja jika menguasai ilmu alat tetapi tidak suka membaca. Penambahan dan pengembangan ilmu tidak berlaku.
Ya, sekalipun mendapat A dalam subjek matematik dan sains, belum tentu seseorang dapat menguasai bahasa inggeris dengan baik dan jika ia terhenti di situ tanpa proses memantapkan lagi bahasa tersebut dan budaya suka membaca, impian hanya tinggga retorik. Sains dan teknologi tidak dapat dikejar. Bahasa inggeris yang dicanangkan ingin dipertingkatkan penguasaanya, berlegar sekitar dua subjek itu sendiri. Bahasa ibunda, keliru apa letak duduknya.
BELAJAR DARI YU MING
Oleh yang demikian, saya tidak hanya memandang isu PPSMI secara khusus dari satu dimensi iaitu dari aspek murid-murid di sekolah.
Suka saya tekankan isu ini, lebih kepada isu memartabatkan bahasa melayu. Ia merupakan usaha menjadikan dan memahamkan akan kepentingan bahasa melayu sebagai pembangunan jatidiri bangsa.
Ia bahasa kita. Bahasa ibunda. Ia bukan bahasa kelas kedua. Ia mampu pergi jauh untuk menjadi salah satu pelopor bahan bacaan tradisi ilmu dunia jika kita memeliharanya dan mengangkatnya. Jika kita mengusahakan agar ia mampu berdiri sama rendah dan duduk sama tinggi dengan bahasa-bahasa pelopor dunia sekarang. Kita lahirkan bacaan-bacaan ilmiah dalam bahasa ibunda kita. Kita kembangkan kajian akademik dalam bahasa kita serta pelbagai usaha lain, yang akan membuatkan bahasa kita menjadi bahasa yang menjadi antara bahasa yang ingin dipelajari dunia.
Jika tidak, ibarat Bahasa Manx, ia akan luput dan lupus dan hanya menjadi bahasa bualan semata-semata.
Jika ingin memengerti lebih akan isu bahasa ini, Tuan Tanah ada berkongsi filem pendek; Yu Ming Is Ainm Dom di laman blognya. Ya, tentang bahasa, tentang kita.
‘
Jika teman pembaca yang budiman ingin menambah dua sen, membetulkan saya, berdiskusi amat dialu-alukan untuk dikongsi bersama di sini. Ini sekadar pendapat, bukan kajian akademik. Malah persoalan bahasa apa yang paling mendominasi, yang menjadi keutamaan interaksi dunia, paling praktikal dipelajari masih belum ada kajian akademik yang mutlak. Kajian-kajian akademik dan fakta masing-masing berbeza dan berubah dalam soal ini. Oleh itu, silakan.:)


























assalamu`alaikum
harap2 akak dapat komen kali ini. akak setuju PPSMI patut dimansuhkan sebab akak lihat sendiri impactnya terhadap pelajar di luar bandar. kebanyakan makcik akak cikgu, dan cikgu yang mengajar di kawasan pedalaman. ada cerita akak dengar, kata mereka, jejantas pun budak2 sana tak kenal (ditulis crossings), sebabnya tak pernah tgk. kelantan ada satu sahaja jejantas, rasanya di kuala krai. masa peperiksaan, budak2 bertanya dgn cikgu pengawas peperiksaan “cikgu ni apa?” kalau dgr makcik akak cerita, di kampung masih ramai yang pergi sekolah/ponteng sahaja. makcik kena belikan pensil byk2, sebab selalu anak2 muridnya tak cukup peralatan. daifkan? sedih rasanya, inilah malaysiayang mengaku dah maju
Waalaikumsalam.
Terima kasih Kak Aini di atas pandangan dan perkongsian. Saya memang menanti-nanti pendapat akak sebab saya tahu kita sama-sama suka membaca buku Inggeris. Dan pendapat dari mereka yang suka membaca bacaaan dari kedua-dua bahasa samada nacaan berbentuk fiksyen atau tidak, amat dinantikan kerana ianya datang dari mereka yang tidak bias terhadap isu bahasa ini.
Oh, sampai begitu sekali ke akak? Erm, saya sendiri pun ada mendengar masalah kanak-kanak di kawasan pendalaman.
Masalahnya, PPSMI ini dilaksanakan dengan terlalu cepat dan kajian yang dibuat sebelum perlaksanaan masih belum menyeluruh dan melengkapi seluruh aspek.
Satu tahun! Mana mencukupi untuk satu sistem yang besar seperti PPSMI ini.
p/s: Maaf di atas kesulitan melayari laman blog ini beberapa hari. Masa terima emel akak, baru saya tahu. Afwan ya.:)
Ada kawan akak berkobar-kobar bersetuju perlaksanaan BI untuk sains & matematik. Tetapi akak rasa sebaliknya. Memang akak bersekolah di bandar di mana pembelajaran sistematis, tetapi…akak tetap tidak bersetuju dengan pelaksanaan PPSMI ini. Akak sentiasa mengikuti perkembangan di blog pn Ainon PTS, rasa sedih membaca bagaimana kaum intelek Melayu dipinggirkan. bila memberontak sedikit, sudah dikatakan tidak beradab, padahal bertahun-tahun menggunakan saluran rasmi untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.
Bagi akak, banyak cara lain untuk memperbaiki Bahasa Inggeris, tidak semestinya dengan memaksa murid-murid menelan bahasa tersebut sehingga BM turut menjadi tunggang langgang. Bukanlah akak berbangga di gelar Melayu, tetapi akak inginkan peluang pendidikan sama rata antara yang miskin dan yang kaya. Kalau golongan yg senang rasa ingin anak belajar di sekolah yang mediumnya Bahasa Inggeris, apa salahnya tambah duit sedikit dan hantar ke sekolah swasta. Sek kebangsaan adalah hak milik semua rakyat.
Ironisnya, pedukung PPSMI adalah mereka yang kebanyakannya mereka/anak mereka bersekolah di luar negara/international school. Bukankah elok mendukung PPSMI dengan menghantar anak ke sek kebangsaan ataupun pak-pak menteri sendiri kurang yakin dgn sistem pendidikan di Malaysia?
Akak baru beli buku “Mengapa Kami Bantah PPSMI” keluaran PTS, kalau akak dah baca nanti akak kongsikan pengisiannya, insya Allah.
Terima sekali lagi kak.
Ha. Itu yang SUNGGUH ironisnya.
Betul tu. Kebanyakan yang menyokong adalah mereka yang hantar anak ke sekolah antarbangsa dan bahasa Inggeris menjadi medium bahasa pertama mereka. Anak-anak murid saya dulu, petah dan bijak dalam bahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Bahasa Inggeris membentuk cara hidup mereka, budaya fikir dan kecenderungan jati diri mereka.
Kecuali mereka yang faham ISLAM.
Jika diminta menulis karangan dan berdebat dalam bahasa Melayu, ramai dikalangan golongan elit dan profesianal tidak mampu. Walau ada segelintir dari mereka yang boleh fasih berbahasa Melayu dan menulis dalam bahasa Melayu namun hanya minoriti.
Sebab itu saya tekankan di atas, persoalan PPSMI bukan hanya isu murid-murid di sekolah namun isu jatidiri.
Bagaimana Inggeris ingin dimahirkan banyak caranya antaranya yang telah saya sebutkan di atas. Saya gariskan sedikit di sini.
1) Terpenting, perkemaskan pengajaran mata pelajaran Inggeris agar ilmu alat yakni bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan baik. Pengajaran secara berkesan dan kreatif harus ditekankan. Jika seseorang murid sudah mahir dalam subjek dan menguasai bahasa Inggeris senang untuk dikembangkan pemahaman mereka kepada ilmu lain seperti sains dan teknologi. Tidak semestinya dengan mengajar dua subjek tersebut dalam Bahasa inggeris.
2) Suburkan budaya membaca. Di rumah dan di sekolah. Jika hanya mendapat A sahaja tanpa tabiat suka membaca, ilmu tidak berkembang.
Ringkasnya, letakkan dua bahasa itu pada tempatnya.
Allahua’lam.
p/s: Saya tunggu review buku dari akak.:)