(Sebuah entri yang bakal diedit dipublickan kembali).

Hari ini, genap tiga bulan seorang aku bergelar isteri. Tiga bulan yang lalu, akad termetri. Bagai meraih kasih Allah yang maha besar, punya suami budiman lagi sentiasa kasih dan kasihan pada diri seorang aku yang tiada apa-apa, Allah sahaja yang layak disyukuri. Terima kasih ya Allah di atas Robithoh Muqaddasah ini.

Aku pernah menulis satu puisi dan warkah buat sahabat mempelai. Namun kini, kutujukan untuk diriku sendiri. Juga mereka yang bergelar isteri barangkali.

Kala menulis itu, aku teresak di musim syita’ di rumahku di Mansurah. Tahun 2003 sebelum pulang ke Malaysia mengetahui teman melansungkan perkahwinan bagiku satu berita yang meruntun emosi. Kekanda yang bersama berada dalam satu pelayaran menimba ilmu sebelum ke Mesir. Menjadi pelajar pertama mendapat pangkat Mumtaz di cawangan Iskandariah. Puisi ini juga sering kutuju dan kukurim pada sahabiah yang akan menjadi isteri. Membacanya kembali, aku terasa hairan bagaimana aku bisa menjalin ayat-ayat bombastik ala melankolik (kononnya). Mungkin perlu sedikit ubahsuai.

Selalunya bila aku fikir kembali, setiap kali ingin melakar puisi, aku tidak boleh memaksa diriku. Setiap kali nubari lembut dengan kasih Allah, ilham datang mencurah. Jika tidak, usah dikerah tidak mungkin terhasil apa-apa.

Seperti waktu itu, ketika di kamar waktu mengenang kembali Kekandaku yang pertama menjadi suri, sebak datang terus. Lantas kucapai pena dan buku, dan melakar emosi pada sekeping nota. (Wah, sungguh klasik, nostalgik dan ber’jiwo’ sastera pula ayatku kali ini.)

Termetri sudah

Duhai insan bergelar isteri,
Buat pejuang di rantai ini,
Sudah termetri janji,
Sudah diikat setia,
Sudah dibongkar rahsia atma
Sudah suluh  jiwa,
Bagai diatur bersama,
Engkau melamar,
Memetrai janji  buat yang halal,
Engkau merisik
Menyinggah diri sebagai suami,

Kini,
Rahsia hati,
Sudah lumat dalam diri,

Kini,
Singkap jiwa
Telah lerai tersimpul mati,
Bisikan  garisah,
Desis halus berlagu merdu,
Telah berpadu
Menjadi akrab  tiada jemu

Berganding membina diri,
Bersama menongkat jihad,
Bersatu melakar impian
Bertaut menyisip abstrak hidup,
Berpimpin mengintai kanvas syahid
Berjanji memikul perih  amanah Rabb

Bersama segala
Meredah desak arah hidup
Menjunjung asperiasi Sunnah Nabi
Menjadi dagang di zaman modenisasi
Genggam Sunnah persis genggam bara api

Isteri

Kau sahabatku…
Menjadi medan pemangkin generasi pejuang Ilahi,
Mencorak variasi ummah bervisi,
Mendidik  hamba Rabbi,
Menyatu tenaga meredah,
Turisnya duri untuk menghirup,
Lazatnya cinta Rabbi,

Suami,

Engkau di sana,
Memerah darah,
Mengalir keringat,
Pasung tenaga,
Gelut usaha,
Ripuh rasa,
Demi damba taman cinta-Nya,
Pejuang di siang hari,
Pengabdi Tuhan di malam hari
Mengejar syahid impian sukma,
Yang hidup hanya untukNya,

Suami,

Isteri,

Bukan di sini,
Bukan cinta kita matlamat utama

Namun,
Bersama untuk Cinta Kekasih selamanya,
Bersatu mengemis tulus RedhaNya,
Berganding mengait mulus RinduNya,

Kita berpaut, bertaut ; hanya..
Untuk, kekal bahagia,
Di RaudhahNya..
Lestari di dakapan halus
Tuhan
Yang Maha Mengerti Segalanya
Hanya kerana
DIA

Cinta Agung kita..
Hanyalah keranaNYA
Hanya…
Maka termetri janji ini.

Nai,
Julai 2003, Mansurah.

Kala ingin menujukan puisi ini buat seorang teman yang lain pula di kampus UIA lewat melanjutkan Sarjana pada tahun 2005,  aku menulis satu warkah buat seorang teman sebagai tambahan kerna benar perasaanku bagai diruntun tika itu. Ada juga beberapa teman lain yang pernah kukurim kedua-dua nukilan ini, namun tidak teringat siapakah mereka.

Nai,

Monolog Diri

p/s: Warkah itu telah saya pindahkan di sini memandangkan entri ini yang sungguh panjang.